Saturday, January 17, 2009

PAS menang

KUALA TERENGGANU, 17 Jan - PAS telah berjaya memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu melalui calonnya, Abdul Wahid Endut, 51 dalam pilihan raya kecil yang diadakan hari ini.

Kemenangan Abdul Wahid dalam persaingan sengit itu menyaksikan Adun Wakaf Mempelam itu mengalahkan BN yang diwakili oleh calon Umno, Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan calon bebas Azharuddin Mamat, seorang ahli perniagaan.

Ini bermakna jumlah ahli Parlimen Pakatan Rakyat bertambah menjadi 83 kerusi, sementara jumlah ahli Parlimen BN merosot kepada 137 orang apabila dua ahli Parlimen SAPP turut meninggalkan BN baru-baru ini.

PAS mendapat 32,883 undi manakala BN 30,252, sementara undi calon Bebas adalah 193 undi, di mana PAS mendapat kelebihan majoriti 2,631 undi.

Perkara itu diumumkan oleh Pengurus Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) Negeri di Stadium Negeri, Kuala Terengganu sebentar tadi.

Pengumuman kemenangan itu disambut gembira dengan laungan takbir dan sorakan oleh ribuan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat yang berada di pekarangan stadiaum terbabit.

Abdul Wahid, 51 tahun adalah ADUN sejak lima penggal, lulusan Universiti Pertanian Malaysia (UPM) dalam bidang perikanan dan sains marin. Beliau memiliki rekod yang cemerlang sebagai Adun selama lima penggal dan anngota Exco Kerajaan Negeri Terengganu sepanjang tempoh 1999-2004.

Parlimen Kuala Terengganu mempunyai 4 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mana 3 daripadanya dimenangi oleh PAS manakala 1 DUN dimenangni BN (MCA)

DUN-DUN yang dimenangi oleh PAS ialah Wakaf Mempelam (Abdul Wahid Endut), Ladang (Tengku Hassan Tnegku Omar), dan Batu Burok (Dr Syed Azman Ahmad Nawawi.

Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen P036 berikutan kematian mengejut penyandangnya, Allahyarham Dato' Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia pada 27 Oktober lalu.

Pada pilihan raya umum ke-12, 8 Mac 2008 lalu Razali menang tipis dengan majoriti 628 undi menewaskan calon PAS, Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusuf hanya mendapat 685 undi. Jumlah pengundi berdaftar di Parlimen Kuala Terengganu ialah 80,229 orang termasuk 1,035 pengundi pos

1 comment: